Jenis-jenis Akuifer Air Bawah Tanah

Admin
0
Akuifer ialah satu unit geologi yang mampu menyimpan dan mengalirkan air pada kadar yang cukup laju untuk membekalkan kuantiti yang mencukupi kepada telaga.

Batu kelikir dan pasir tidak terkonsolidat, batu pasir, batu kapur dan dolomit, aliran basalt, dan rekahan batuan plutonik dan metamof merupakan unit-unit batuan yang kebiasaannya menjadi akuifer.

Akuifer boleh terbahagi kepada dua jenis utama iaitu akuifer aluvium (alluvial aquifer) dan akuifer retakan batuan (fractured rock aquifer).

Akuifer retakan batuan turut dikenali sebagai akuifer batuan keras (hard rock aquifer).



Akuifer Aluvium

Akuifer jenis aluvium ini merupakan akuifer yang menyimpan dan mengalirkan air melalui liang – liang sedimen.

Akuifer aluvium boleh terbahagi kepada beberapa jenis iaitu akuifer jenis terkekang (confined aquifer), akuifer jenis tak terkekang (unconfined aquifer) dan akuifer tenggek (perched aquifer).

Akuifer terkekang merupakan akuifer yang dilapisi oleh satu lapisan terkekang. Lapisan terkekang ini ialah satu unit geologi yang mempunyai ketertelapan (permeability) yang sedikit atau intrinsik.

Akuifer tak terkekang pula merupakan akuifer yang hampir dengan permukaan tanah dengan lapisan bahan - bahan yang mempunyai ketertelapan tinggi yang memanjang dari permukaan tanah hingga ke dasar akuifer.

Akuifer ini juga turut dikenali sebagai akuifer muka air (water-table aquifer).

Dalam sesetengah kes, terdapat lapisan yang mempunyai ketertelapan rendah dijumpai sebagai kekanta dalam lapisan yang mempunyai ketertelapan yang lebih tinggi.

Air yang meresap masuk dari permukaan akan terkumpul di atas kekanta tersebut. Akuifer jenis ini dikenali sebagai akuifer tenggek (perched aquifer). Akuifer ini kebiasaannya tidak besar.


Akuifer  Batuan Keras


Akuifer batuan keras pula merupakan akuifer yang mempunyai keupayaan menyimpan air yang terhad dan mengalirkan air melalui zon – zon fisur, retakan atau gua batu kapur (bawah tanah).

Kandungan air tanah yang dapat diperolehi bergantung kepada saiz dan kedalaman pembukaan retakan, ruang retakan, saling – hubung antara retakan, dan sumber pengecasan semula air tanah.

Kebiasaannya, akuifer batuan keras memerlukan penggerudian yang lebih dalam berbanding penggerudian untuk akuifer jenis aluvium.


Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)