Geologi Kawasan Gunung Jerai

Admin
0

Geologi Kawasan Gunung Jerai


Terdapat dua formasi di kawasan Gunung Jerai iaitu Formasi Gunung Jerai dan Formasi Mahang.

Formasi Gunung Jelai terletak di bawah Formasi Mahang (Formasi Sungai Petani), dan mengikut Almashoor (1973), sempadan di antara kedua-dua formasi ini adalah selaras. 

Formasi Mahang berusia Silur Awal (Bradford, 1972), jadi bahagian atas Formasi Jerai sekurang-kurangnya Ordovisi Akhir.

Almashoor (1973) membandingkan Formasi Jerai dengan batuan yang terdapat di kawasan Grik, Perak. Bahagian atas Formasi Jerai yang terdiri daripada batu pasir kuarzit mempunyai kesamaan yang rapat dengan batu pasir kuarzit yang terdapat dalam Formasi Kuarzit Papulut yang dikatakan
berusia Ordovisi Akhir (Jones, 1970). 

Dalam kedua-dua batuan kusrzit di atas mempunyai lapisan tuf yang serupa komposisinya. Jadi Almashooor (1973) mencadangkan usia Formasi Jerai ialah di keseluruhan masa Ordovisi.



Formasi Jerai


Formasi Gunung Jerai diambil sempena dengan nama Gunung Jerai, di mana jujukan batuan formasi ini tersingkap. Bradford (1965) yang mula memperkenalkan nama formasi ini.


Formasi Jerai cuma tertabur di Gunung Jerai sahaja, termasuk di Pulau Bunting. Walau bagaimanapun, formasi ini dikorelasikan dengan Formasi Machinchang di Langkawi. 

Di Pulau Paya yang terletak di pertengahan antara Langkawi dan Gunung Jerai, batuannya terdiri daripada batu pasir yang serupa dengan batu pasir yang terdapat di Gunung Jerai.

Singkapan di Tanjung Jaga adalah antara lokaliti elok untuk kajian geologi Formasi Jerai. Di sini, fasies argilit yang terdiri daripada batuan syis, dan fasies arenit yang dominannya terdiri daripada batuan metakuarzit tersingkap. Hubungan di antara kedua-duanya boleh diperhatikan.

Batuan yang terdapat dalam Formasi Jerai ini semuanya telah termetamorf. Bradford (1972) membahagikan Formasi Jerai ini kepada tiga, iaitu;
  • Fasies argilit
  • Fasies arenit
  • Fasies porfifi kuarza
Almashoor (1973) yang membuat kajian terperinci berkenaan dengan Gormasi Jerai telah menukar atau mentafsir batuan porfiri kuarza sebagai batuan tuf. Beliau membahagikan Formasi Jerai kepada tiga ahli seperti berikut;

  • Ahli filit
  • Ahli kuarzit
  • Ahli tuf

Fasies argilit merupakan jujukan paling bawah dalam Formasi Jerai, kemudian diikuti oleh fasies arenit. Dalam fasies arenit ini terdapat beberapa lapisan batuan yang terdiri daripada fasies tuf.

Formasi Jerai merupakan batuan yang paling tua dan jujukan batuan formasi ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu fasies syis dan kuarzit.

Fasies syis ini tertabur mengelilingi jasad granit dan arah kemiringan lapisan syis ini adalah menjauhi granit. Fasies syis merupakan batuan paling bawah (tua) Formasi Jerai dan fasies ini juga terletak terus di atas jasad granit.

Granit yang membentuk Gunung Jerai terdiri daripada granit biotit (mika seringkali diwakili oleh dua biotit dan muskovit), berbutir sederhana, dan terdapat juga granit berbutir kasar, granit grafik dan pegmatit.


Formasi Mahang


Nama formasi ini diambil daripada pekan Mahang yang terdapat di Kedah. Formasi Mahang mula digunakan oleh Courtier (1974) untuk jujukan batuan yang terdapat di sekitar Mahang.

Formasi Mahang terdapat di bahagian selatan negeri Kedah, iaitu di sekitar Gunung Jerai (yang dikenali sebagai Formasi Sungai Petani), sekitar Mahang dan Bedung, Kedah. 

Semua batuan Silur-Ordovisi yang terdapat di Kedah dimasukkan ke dalam Formasi Mahang. Di Gunung Jerai, Formasi Mahang terletak di atas Formasi Jerai secara selaras.

Jujukan Formasi Mahang mengandungi banyak fosil, dan tiada masalah untuk penentuan usia formasi. Kebanyakkan fosil ditemui dalam batuan argilit. 

Fosil juga ditemui dalam rijang dan atau fasies bersilika. Antara jenis fosil yang dilaporkan ialah
graptolit, tentaculites, krinoid, lamelabranch dan trilobit. 

Kesimpulannya, usia Formasi Mahang ialah daripada Silur Bawah hingga Devon Awal.

Formasi Mahang terdiri daripada batuan argilit yang berwarna kelabu gelap hingga hitam, selalunya telah termetamorf dan bersilika. Dalam unit argilit ini terdapat lapisan nipis batuan arenit dan rijang. 

Syal dan rijang kebanyakkannya berwarna hitam, mengandungi kandungan bahan karbon yang tinggi dan terdapat juga hablur pirit.

Di kawasan Bedong, Formasi Mahang dibahagikan kepada tiga fasies;
  • Fasies arenit
  • Fasies bersilika (termasuk rijang)
  • Fasies argilit
  • Fasies berkapur

Jujukan Formasi Mahang mempunyai kesamaan dengan jujukan Formasi Sungai Petani yang terdapat di sekitar Gunung Jerai. Sekarang ini diterima pakai dengan meluas bahawa Formasi Sungai Petani adalah sebahagian daripada Formasi Mahang.

Di sebelah timur, batuan yang seusia, dan juga terdiri daripada batuan argilit yang dominan dikenali sebagai Kumpulan Baling (Burton, 1972).

Formasi Mahang terdiri daripada batuan argilit hitam dengan kandungan karbon yang tinggi, selain silika dan pirit. Jujukan yang berpelapisan nipis ini mengandungi fauna pelagit. 

Ini mencadangkan yang Formasi Mahang terendap di sekitaran yang berkeadaan “reducing”, di air yang tenang dan sumber bekalan sedimen klastik yang terhad. 

Kehadiran radiolaria dalam rijang menguatkan pendapat bahawa Formasi Mahang terendap di sekitaran laut dalam.

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)