Cara Mencari Zon Air Tanah atau Air Bawah Tanah

Admin
0
Pada asasnya, pencarian air tanah (groundwater) agak rumit tanpa kaedah yang betul. Jika dilihat pada kaedah-kaedah lama, kebanyakannya melibatkan pencarian zon air tanah yang sangat cetek iaitu kira-kira kurang daripada 10m. 

cara mencari zon air tanah


Masalah berkaitan dengan zon air tanah yang sangat cetek (<10m) ini ialah ia dipengaruhi oleh air atau bendalir dipermukaan yang menyusup masuk ke dalam lapisan tanah dan mudah tercemar oleh kehadiran bendasing. 

Bendasing seperti minyak, racun tanaman, air kumbahan dan lain - lain akan menganggu kualiti air tersebut.

Air tanah boleh berada dalam lapisan bumi dalam dua keadaan.

Pertamanya, air ini berada dalam lapisan pasir, batu kelikir atau tanah. 

Kedua, air ini berada dalam retakan batuan terutamanya kawasan yang berbukit. Kebiasaannya, air yang berada dalam retakan batuan ini adalah lebih bersih dan jernih.

Ramai yang tidak maklum bahawa di Malaysia, kita telah mempunyai teknik atau teknologi untuk mencari air tanah ini dengan lebih efektif. Kaedah seperti survei keberintangan elektrik (electrical resistivity survey) merupakan satu kaedah yang paling popular dan berkesan dalam mencari zon air tanah. 

Kaedah ini mampu memetakan lapisan bumi sehingga kedalaman 100m. Kebolehan kaedah ini memetakan lapisan bumi pada kedalaman ini membolehkan kita mengetahui kedudukan zon air tanah yang lebih dalam.

Secara umumnya, kaedah keberintangan elektrik ini memanipulasikan sifat tanah atau bahan bumi yang mempunyai kebolehan berbeza untuk mengalirkan arus elektrik. 

Kehadiran air dalam tanah atau rekahan batuan membolehkan arus elektrik mengalirkan dengan baik, manakala tanah yang kering dan padat atau batuan padat menyebabkan arus elektrik sukar untuk melalui bahan-bahan ini. 

Mekanisme ini membantu ahli geofizik menafsirkan kedudukan zon yang berpotensi untuk tujuan penggerudian dan pembinaan telaga tiub (tubewell).


Contoh imej atau hasil daripada survei keberintangan elektrik.



Kaedah survei keberintangan elektrik ini akan memberi gambaran zon yang mengandungi air (imej diatas) seterusnya memudahkan proses penggerudian. 

Penggerudian air tanah ini akan menjadi lebih mudah dan tepat sekiranya kedudukan dan kedalaman punca atau zon air ini diketahui. 

Secara tidak langsung, penjimatan masa dan kos dapat dilakukan. Gabungan kaedah keberintangan elektrik dan penggerudian adalah sangat praktikal. 

Ia telah pun mendapat tempat dalam sektor awam dan swasta seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), universiti awam serta syarikat swasta.

Oleh itu, pendedahan dan didikan yang berterusan kepada masyarakat  harus dilakukan agar teknologi yang ada dapat dimanfaatkan bersama - sama.

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)